KAWAN – Sukarelawan Pendidikan Komuniti

Kerajaan Puji Peranan NGO Bantu Bersihkan Alam Sekitar

KOTA KINABALU: Kerajaan memuji usaha murni yang dilakukan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Rotary Club di sini dalam usaha mereka membantu membersihan persekitaran bandaraya ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, badan NGO itu sentiasa membantu kerajaan membersihkan sungai, pantai dan mengadakan seminar kempen kesedaran kebersihan laut kepada lebih 15,000 pelajar di Sabah.

“Usaha seumpamanya sudah dilakukan Rotary Club Kota Kinabalu sejak 2003 sehingga kini, seterusnya memberikan inspirasi kepada mereka menerbitkan empat buah buku.

“Antara buku itu ialah The Beautiful River of Sabah (2006), The Beautiful Beaches of Sabah (2007), The Beautiful Mountains of Sabah (2009) dan hari ini mereka juga menerbitkan buku baharu iaitu The Beautiful People of Sabah,” katanya ketika menyempurnakan majlis buku itu, di sini.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, pelancaran buku baharu itu juga sebahagian daripada program Rotary Club membantu kerajaan menjaga kebersihan alam sekitar.

Katanya, alam sekitar negeri ini perlu dijaga dengan baik kerana aset seumpamanya menjadi pemangkin utama tarikan pelancong dalam dan luar negara ke Sabah.

“Persekitaran yang bersih dan sihat adalah suasana yang dikehendaki oleh semua masyarakat di dunia ini.

“Jagalah kebersihan negeri ini dengan hanya tindakan mudah seperti tidak membuang sampah merata-rata tempat,” katanya.

Ketika ditemui, Christina menjelaskan bahawa buku yang dilancarkan itu adalah yang terbaik berbanding penerbitan sebelumnya.

“Saya juga ingin menggalakkan badan NGO lain di Sabah mencontohi usaha yang dilakukan Rotary Club ini. Jalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan untuk bersama-sama menjaga kebersihan di seluruh negeri,”katanya 

oleh YAP SIONG HAN

SUMBER: https://www.utusanborneo.com.my/2019/05/25/kerajaan-puji-peranan-ngo-bantu-bersihkan-alam-sekitar

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *